Pergi ke kandungan

Baset grifon kecil Vendée

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Baset grifon kecil Vendée
Dua ekor baset grifon kecil Vendée
Nama ringkasPBGV
Negara asalPerancis
Trait
Tinggi 34–38 cm (13–15 in)
Bulu kasar, sederhana panjang
Warna putih dengan mana-mana gabungan tanda lemon, jingga, hitam, black, triwarna, atau kelabu gelap
Anjing (Canis lupus familiaris)

Baset grifon kecil Vendée[a] ialah satu baka anjing jenis anjing pemburu bau yang dibiakbakakan untuk menjejak kelinci di rupa bumi berisi semak berduri di daerah Vendée di Perancis. Baka ini dikenali di Amerika Syarikat sebagai "Petit" atau "PBGV", di England sebagai "Roughie", dan di Denmark sebagai "Griffon" atau "Petit". Baka ini merupakan salah satu daripada enam baka jenis baset yang diiktiraf oleh Persekutuan Kinologi Antarabangsa (FCI).[1]

Penampilan

[sunting | sunting sumber]

Kedua-dua jantan dan betina sepatutnya sama saiz, dengan ukuran tinggi 12.5–15.5 inci (32–39 cm) pada paras kelasa dan ukuran barat 25–40 paun (11–18 kg).

Seperti 3 baka grifon Vendée lain: grifon besar Vendée, grifon sederhana Vendée, dan baset grifon besar Vendée; anjing ini anjing padu yang kelihatan kasar dan tidak halus namun tetap bersahaja. Ia mempunyai tungkai pendek, struktur tulang teguh, dan tubuh yang lebih panjang sedikit berbanding ketinggiannya pada paras kelasa. Panjang tubuhnya tidak seekstrem yang pada anjing pemburu baset atau pada dachshund.

Anjing baka ini mempunyai penampilan kusut, dengan lapis bulu ganda yang panjang dan kasar. Bulu di muka dan di tungkai mungkin lebih pendek daripada yang bulu badan. Bulu di muka menyerupai janggut dan misai. Ia biasanya mempunyai bulu mata sangat panjang.

Tengkoraknya berkubah, dengan telinga bujur labuh seperti yang pada banyak anjing pemburu, tetapi jantan cenderung untuk memiliki kubah lebih tinggi berbanding kubah pada betina. Telinganya terletak rendah dan bergantung, dan, jika diregangkan, patut mencapi hujung hidung. Ekornya biasanya terangkat ke atas dan panjang dan menirus ke hujung, serupa dengan rupa bentuk saber.

Pewarnaannya paling banyak putih dengan tompok-tompok jingga atau lemon atau hitam atau kelabu gelap (bulu kelabu dan putih) atau sabel, kadang-kadang dengan sentuhan sawo matang. Anjing ini mungkin dwiwarna, triwarna, atau kelabu gelap.

Perangai dan pembiakbakaan

[sunting | sunting sumber]

Baset grifon kecil Vendée merupakan anjing pemburu yang ekstrovert, ramah, dan berdikari.[2] Anjing yang kadang-kadang dipanggil "baka gembira",[3][4] ini memiliki ekor yang bergoyang tanpa penat dan mata ekspresif dan cerdik. Baka ini biasanya aktif dan bersemangat. Baka ini paling kerap berinteraksi dengan baik dengan kedua-dua anjing dan orang lain. Piawaian baka menyatakan bahawa anjing ini patut "bersuara dengan bebas" sebagaimana hal tipikal untuk hound, baset grifon kecil Vendée merupakan anjing kuat bersuara. Jika kawanannya mula melolong atau menyanyi, anjing baka ini pasti ikut serta, dengan hasil yang menghiburkan. Baka ini mungkin melolong bersendirian atau secara berteman; mungkin melolong dengan muzik, saja-saja, atau melawan akibat ditinggalkan bersendirian. Pemilik anjing baka ini melaporkan bahawa anjing tidur telah diketahui bangun dan melolong bersama dengan lagu-lagu kegemaran.

PBGV bukan anjing senyap. Walaupun PBGV pasti tidak akan disebut "becok", raungan anjingnya yang tegas adalah agak luar biasa lantang untuk tubuhnya yang agak kecil. Sifat terus terang PBGV berbeza-beza menurut individu, tetapi anjing paling silu pun sudi menyapa anjing lain dengan salakan atau panggilan.

Seperti hound lain, anjing kecil ini boleh menjadi sedikit degil dalam soal pelatihan. Namun, kecemerlangannya PBGV dalam ketangkasan, kepatuhan, dan di dalam gelanggang bukan hal yang jarang - semuanya memerlukan pelatihan.

Oleh sebab anjing ini sungguh ekstrovert, ramah, dan gembira, PBGV boleh menjadi anjing terapi sesuai.

PBGV merupakan anjing pemburu dan penjejak cemerlang. Banyak PBGV telah melulusi ujian naluri perburuan dan memperoleh gelaran perburuan AKC. Anjing baka ini yang bekerja dengan cara ini tidak berburu untuk membunuh. Di wilayah Vendée di Perancis, anjing ini digunakan untuk menggarah dan menjejak arnab di dalam semak berduri, lalu menghalakan arnab ke lapangan untuk ditembak oleh sang pemburu. Anjing pemburu mahir bekerja dengan baik dengan anjing lain dalam kawanan, menyedarkan kawanan tentang kehadiran arnab, atau pergerakan arnab di suatu jejak. "Ekor saber", satu lagi nama panggilan untuk PBGV, biasanya putih di hujung ekor. Maka, ekornya mudah dikenal pasti oleh pemburu di atas semak berduri dan belukar.

Sebagai haiwan pendamping, naluri perburuan yang kadang-kadang jelas menonjol boleh terlihat di rumah pada anjing yang mengejar burung, tupai, dan kucing. Untuk sesetengah PBGV, naluri ini sukar diatasi melalui pelatihan. Kebanyakan PBGV dapat menjadi haiwan teman yang baik, dan memiliki adab sesuai untuk hidup bersama dengan kucing dan haiwan lain tanpa menjadi pemburu. Bakal pemilik PBGV diingatkan untuk menyedari naluri ini dan, jika ada kucing di rumah, berusaha untuk menyesuaikan anak anjing atau anjing dewasa untuk mengenali bahawa kucing berkenaan merupakan anggota "kawanan" rumah.

Sebagai anjing pemburu bau, kebanyakan PBGV patut bercawak apabila di kawasan luar rumah terbuka tanpa pagar. Anjing paling patuh pun mungkin mengejar apabila suatu bau ditemukan. Anjing baka ini ialah atlet semula jadi dan mampu berlari dengan pantas dan lama apabila ada bau yang terlibat. Bau biasanya mengalahkan kepatuhan dalam fikiran PBGV. Malah, PBGV cemerlang dalam tugas hidung dan banyak yang telah memperoleh gelaran kerja bau dan penjejakan.

Sifat terus terang dan ekor tegak PBGV dapat disalahtafsirkan oleh anjing lain, kerana cara ini biasanya menandakan kedominanan terhadap anjing lain. PBGV dapat mencetuskan keperluan untuk anjing lain menandakan kedominan. Maka, pemilik PBGV perlu disedarkan tentang kemungkinan salah tafsir kerana baka ini mudah dikalahkan dari segi saiz dan keagresifan.

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]

Sebuah kajian United Kingdom tahun 2024 mendapati jangka hayat sebanyak 13.7 tahun untuk baka ini berbanding dengan purata 12.7 tahun untuk baka tulen dan 12 tahun untuk baka silang.[5]

Morbiditi

[sunting | sunting sumber]

Dalam tinjauan tahun 2000 Kelab PBGV Amerika, penyakit paling umum yang dilaporkan oleh para pemilik 640 ekor anjing merupakan membran anak mata berterusan, jangkitan telinga berulang, hipotiroidisme, nyeri leher, dan epilepsi, yang dirawat dengan ubat-ubatan harian, terutamanya fenobarbital.[6] Pada usia lanjut, ia dapat menghidap masalah mata yang dikenali terutamanya melanda anjing gembala Jerman, dipanggil Panis. Masalah ini dijauhkan dengan menggunakan titisan steroid untuk mata.

Dalam kalangan 289 ekor baset grifon besar dan kecil Vendée yang masih hidup dalam tinjauan UKC 2004, isu kesihatan paling umum yang diperhatikan oleh para pemilik merupakan masalah pembiakan, masalah dermatologi (dermatitis dan tungau), dan masalah pendengaran (otitis luaran, tahi telinga berlebihan, dan tungau telinga).[7] Anjing ini juga terdedah kepada kehelan pinggul oleh sebab badan panjangnya, tungkai pendeknya, dan berat badan yang ditanggung oleh badan dengan saiz sedemikian, pada purata sekitara 15 kg (33 lb).

Baset grifon kecil Vendée ialah salah satu baka yang lebih lazim terjejas akibat glaukoma sudut terbuka primer. Suatu mutasi resesif autosom bagi gen ADAMTS17 bertanggungjawab atas keadaan ini pada baka ini.[8]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Jawi: باسيت ݢريفون کچيل ۏندي; Perancis: petit basset griffon vendéen; PBGV
  1. ^ Fogle, Bruce (1 Mac 2002). Dogalog (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-1). New York, New York, Amerika Syarikat: Dorling Kindersley Publishing. m/s. 48. ISBN 9780789483942. OCLC 49559015.
  2. ^ Pepper, Jeffrey G. (10 Julai 2012). Petit Basset Griffon Vendéen: Special Limited Edition: A Comprehensive Owner's Guide [Baset Grifon Kecil Vendée: Edisi Terhad Khas: Panduan Komprehensif Pemilik] (dalam bahasa Inggeris). Freehold, New Jersey, Amerika Syarikat: Kennel Club Books. ISBN 9781621870241. OCLC 797920157.
  3. ^ Caras, Roger A. (6 Februari 2001). Going for the Blue: Inside the World of Show Dogs and Dog Shows [Going for the Blue: Di Dalam Dunia Anjing Pertunjukan dan Pertunjukan Anjing] (dalam bahasa Inggeris) (ed. cetakan ke-1). New York, New York, Amerika Syarikat: Grand Central Publishing. ISBN 9780759520806. OCLC 1314621065.
  4. ^ Choron, Sandra; Choron, Harry (2005). Planet Dog: A Doglopedia [Planet Dog: Ensiklopedia Anjing] (dalam bahasa Inggeris). Boston, Massachussetts, Amerika Syarikat: Houghton Mifflin Harcourt. m/s. 146. ISBN 9780618517527. OCLC 60348998.
  5. ^ McMillan, Kirsten Marie; Bielby, Jon; Williams, Carys Louisa; Upjohn, Melissa Mary; Casey, Rachel Alison; Christley, Robert Matthew (1 Februari 2024). "Longevity of companion dog breeds: those at risk from early death" [Kelanjutan usia baka anjing teman: yang berisiko untuk kematian awal]. Scientific Reports (dalam bahasa Inggeris). Nature Portfolio. 14 (1): 531. Bibcode:2024NatSR..14..531M. doi:10.1038/s41598-023-50458-w. ISSN 2045-2322. PMC 10834484 Check |pmc= value (bantuan). PMID 38302530 Check |pmid= value (bantuan). S2CID 267382263 Check |s2cid= value (bantuan).
  6. ^ http://www.pbgv.org/PBGVCA/Committee/healthSurvey.html Diarkibkan 28 September 2007 di Wayback Machine Kovaleff, L. 2001. Laporan tentang keadaan kesihatan baset grifon kecil Vendée. Berdasarkan Tinjauan Kesihatan 2000 yang dijalankan oleh Kelab Baset Grifon Kecil Vendée Amerika. (Tiada pautan langsung kepada tinjauan 1994, tetapi menyertakan perbandingan antara tinjauan 1994 dengan tinjauan 2000) Dicapai pada 20 Disember 2023.
  7. ^ http://www.thekennelclub.org.uk/item/570 Diarkibkan 13 Ogos 2013 di Wayback Machine Jawatankuasa Sains The Kennel Club/British Small Animal Veterinary Association. 2004. Purebred Dog Health Survey. Dicapai pada 20 Disember 2023.
  8. ^ Oliver, James A. C.; Mellersh, Cathryn Suzanne (14 Disember 2020). "Genetics" [Genetik]. Dalam Cooper, Barbara; Mullineaux, Elizabeth; Turner, Lynn (penyunting). BSAVA Textbook of Veterinary Nursing [Buku Teks Kejururawatan Veterinar BSAVA] (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-6). Gloucester, United Kingdom: British Small Animal Veterinary Association. m/s. 131. ISBN 9781910443392. OCLC 1197697572.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]